Kesengseraan Besar sudah terjadi

Posted on Monday, April 6, 2009 by Melica Shandra Ferra

February 17, 2009 (A Message from Choo Thomas)

Haleluyah, Masa Kesengsaraan Sudah Bermula; MARANATHA!!!

Sepanjang 2006, 2007, dan 2008 TUHAN telah menunjukkan kepada ramai umat kristian tentang visi pengangkatan begitu juga kepada mereka yang masih belum mengenalNYA. Visi-visi pengangkatan ini membuatkan hati ramai merasa sukacita tetapi pada waktu yang sama juga sebilangan daripada umat ini merasa sangat kecewa kerana pengangkatan masih belum terjadi. Saya percaya bahwa TUHAN menghendaki kebangkitan menyeluruh di dalam hati kita kepada hal pengangkatan ini agar kita dapat bersiap sedia pada bila masa sahaja.

Beberapa bulan yang lalu, TUHAN berkata kepada saya bahwa masa kesengsaraan sudah pun bermula. DIA sedang memberi amaran dan persiapan kepada umat manusia berkenaan dengan ‘pengangkatan’ namun DIA menyedari tidak ramai daripada umat ini yang memberi perhatian sepenuhnya kepada visi-visi ini dan mereka semua akan dikejutkan lagi kerana DIA akan datang dan hanya membawa mereka yang sudah bersiap sepenuhnya dan yang menantikan DIA dengan segenap hati. TUHAN juga berkata bahwa DIA sudah memberikan peluang yang cukup banyak kepada setiap orang agar bersiap sedia dengan kedatanganNYA. Dan kini masa kesengsaraan sudah bermula dan ini juga bermaksud bahawa pengangkatan akan terjadi pada bila-bila masa sahaja bagi mereka yang sudah siap menantikanNYA.

Selepas TUHAN mengangkat umat pilihanNYA, maka antikris akan mengambil alih dunia ini dan waktu kesengsaraan yang terbesar akan berlaku kepada mereka yang tertinggal, juga kepada umat Kristian yang tidak mahu menerima tanda binatang (iaitu 666). TUHAN berkata tidak ramai umat Kristian yang akan diangkat dan bagi umat Kristian yang diangkat, mereka juga akan dihadapkan ke takhta pengadilan Kristus (2 Korintus 5:10) dan setiap pekerjaan saudara dan saya juga akan diuji oleh api (1 Korintus 3:12-15). Walau selepas kita diangkat, tidak ramai umat Kristian yang akan masuk ke dalam Kerajaan-NYA kerana hati mereka tidak kudus. Ketika TUHAN mengatakan hal ini, ia sangat menakutkan saya dan bagi sesiapa yang sudah membaca buku tersebut juga seharusnya tahu akan hal ini.

Ketika TUHAN beberapa kali membawa saya ke Surga, DIA menunjukkan kepada saya sebuah sungai yang jernih seperti kristal dan DIA berkata hati seseorang haruslah sejernih/sesuci seperti sungai ini untuk masuk ke dalam KerajaanNYA. Ketika TUHAN mengatakan hal ini, ia sangat menakutkan saya dan saya bertanya bagaimanakah hati seorang dapat sesuci ini. Sejak DIA menunjukkan saya air kehidupan tersebut, saya terus menerus hidup di dalam takut akan TUHAN. Ini juga sebabnya saya sering meluangkan waktu yang banyak setiap hari untuk berdoa dan bersekutu dengan TUHAN. Saya tahu ia amat sukar bagi saudara terutama bagi yang bekerja untuk meluangkan waktu panjang bersekutu dengan TUHAN, tetapi saya merayu agar saudara dapat meluangkan waktu yang banyak kepada NYA dan biarlah TUHAN yang selalu menjadi pusat di dalam hidup saudara bukan setakat kadang-kadang, tapi selalu. Tanpa perhubungan dengan TUHAN dan tanpa hidup dalam takut akan TUHAN, tidak seorang pun dapat menyenangkanNYA. Oleh yang demikian, kita haruslah memastikan bahawa Roh Kudus senantiasa bersama dengan kita. DIAlah yang membangkitkan Yesus dari antara orang mati (Roma 8:11). Kerinduan hati saya adalah agar saudara dan saudari di dalam Tuhan akan diangkat.

Ketika saya membaca kata-kata wahyu daripada saudari Linda, ia amat mengkagumkan saya. Lalu saya berdoa dan TUHAN menyuruh saya untuk menyiarkan mesej saudari Linda itu di dalam laman web saya. Sesetengah daripada pembaca mengadu lalu bertanyakan saya siapakah Linda ini, dan kenyataannya saya sendiri juga tidak mengenalinya namun mesej yang disampaikan oleh Linda itu mengandungi Firman TUHAN. Mesej yang disampaikan oleh saudari Linda itu hampir sama dengan apa yang Tuhan nyatakan kepada saya dan ia juga sama dengan apa yang Tuhan ingin kita lakukan. Saya amat sedih ketika melihat sesetengah umat kristian yang hidupnya tidak sesuai dengan cara hidup seorang mempelai Kristus. Kita haruslah lebih mengutamakan TUHAN lebih dari sesiapa pun atau apa saja tak kira situasi apa pun yang kita hadapi. Kita harus tahu bahawa TUHAN lah yang sepatutnya menjadi yang terutama di dalam hidup kita. Menurut Lukas 14:26-27, kita harus lebih mengasihi Yesus yang telah mati bagi kita lebih daripada mengasihi ahli keluarga dan orang yang menyayangi kita.

PUJI TUHAN. Sesiapa yang mau hidup dalam kekudusan harus hidup di dalam Firman TUHAN. Kita perlu masuk ke jalan yang sempit (Matius 7:14). Walau apa pun kesukaran yang datang dalam hidup kita, kita harus turut menderita sebagai askar Kristus YESUS yang setia (2 Timotius 2:3).

Sesetengah umat kristian percaya bahawa dengan melakukan pekerjaan yang baik untuk TUHAN boleh masuk ke dalam kerajaanNYA (Matius 7:22-23). Namun yang terpenting di dalam keselamatan kita adalah dengan kasih dan ketaatan sepenuhnya (Matius 5:19; Markus 12:30-31; Yohanes 14:23-24). Kita harus saling mengasihi antara satu dengan yang lain disamping bersaksi demi keselamatan jiwa yang lain. YESUS telah mati bagi hidup kita, jika kita benar-benar mengasihi TUHAN kita dan benar-benar ingin menyenangkanNYA, kita harus mematikan segala kedagingan dunia kerana kita tidak boleh mencintai kedua-duanya (1 Yohanes 2:15-16). ALLAH itu kasih dan DIA menghendaki kita untuk mengasihi semua bukan hanya setakat mengasihi orang-orang yang percaya dan jika kita tidak mempunyai sikap kemaafan di dalam hati kita, ini juga merupakan satu dosa yang besar. Kita seharusnya saling memaafkan dan tidak membenci pada segala perbuatan yang dilakukan kepada kita. ALLAH berfirman bahwa sesiapa yang membenci saudaranya, orang itu hidup dalam kegelapan (1 Yohanes 2:11). Jika seorang tidak mengampunkan kesalahan orang lain, BAPA di surga juga tidak akan mengampunkan kesalahan orang itu serta orang itu tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam Kerajaan Surga (Matius 6:14-15). Apa pun yang telah kita korbankan adalah nilai yang sangat kecil sekali jika dibandingkan dengan penderitaan dan kesengsaraan yang telah YESUS alami bagi kita.

Segelintir umat kristian berfikir bahawa ketika menerima ALLAH di dalam hati mereka dengan iman, maka mereka pun hidup di dalam iman tetapi hal ini sebenarnya adalah satu tipuan daripada si iblis. Menurut Firman ALLAH di Filipi 2:12, kita haruslah kerjakan keselamatan kita dengan takut dan gentar. Kita harus ingat bahawa tanpa kekudusan, tidak seorang pun yang dapat melihat ALLAH (Matius 5:8, Efesus 5:27, Ibrani 12:14). Allah itu kudus dan segala yang cemar tidak dapat masuk ke dalam KerajaanNYA. Saya percaya inilah sebabnya Tuhan menunjukkan kepada saya betapa banyak umat manusia yang berada di luar gerbang kerajaan Surga dan tempat itu dipanggil ‘lembah kekelaman’. Setengah orang berkata berada di lembah kekelaman itu lebih baik daripada di neraka. Ya, memang itu lebih baik dari neraka, tetapi kita masih mempunyai peluang untuk menerima janji-janji TUHAN jika kita masuk ke dalam Kerajaan Surga. Apa yang TUHAN ingin kita lakukan hanyalah sebuah pengorbanan yang kecil sahaja iaitu dengan hidup taat dan mengasihi DIA lebih dari segalanya. Yesus telah menderita dan mati bagi kita semua, jadi mengapakah kita masih tidak mahu menerima dan menghargai apa yang telah DIA sediakan bagi kita?

Kita seharusnya menjadi seorang mempelai Kristus yang terindah bagi TUHAN. Namun, mengapakah kita tidak mematikan saja segala tabiat keinginan daging dan cuba untuk menyenangkan hati TUHAN? Saudara, kita hidup di dunia ini hanyalah dalam jangka waktu yang singkat tetapi jika kita hidup bersama ALLAH, kita akan hidup selamanya dan kita akan bergembira seperti mana yang pernah kita bayangkan. Apapun yang kita korbankan ketika berada dalam dunia ini semuanya tidak akan sia- sia. Di dalam mesej Linda, dia menyatakan bahawa bagaimana umat kristian yang terlalu asyik menonton televisyen. Umat kristian yang sudah dilahirkan baru tidak boleh menonton segala hal duniawi di dalam televisyen ataupun mendengar music duniawi. Seperti Tuhan berfirman, kita tidak boleh mengasihi kedua-duanya (dunia dan ALLAH).

Kita semua memahami bahawa masa kesengsaraan sudahpun bermula tetapi tidak seorang pun daripada kita yang akan tahu hari dan waktunya pengangkatan akan terjadi. Kita perlu menantikan dengan sabar dan tanpa putus asa, bersiap sedialah dan nantikanlah TUHAN ALLAH kita kerana tidak seorang pun yang dapat memahami kehendak TUHAN (Yesaya 55:8-9). Saya percaya bagi mereka yang masih belum bersedia dan menantikan DIA akan lebih terkejut lagi dengan berlakunya pengangkatan pada bila-bila masa saja.

TUHAN risau terhadap segelintir pastors dan DIA tidak berpuas hati terhadap mereka kerana mereka tidak mengajar tentang akhir zaman, pengangkatan dan tanda binatang (#666). Tuhan berkata pastor-pastor ini akan tertinggal juga bersama dengan jemaat mereka dan kebanyakkan daripada jemaat tersebut akan menerima tanda binatang itu kerana mereka tidak pernah diajar tentang tanda ini dan akibat daripada menerima tanda tersebut. Ini lah kerana TUHAN berkata kebanyakkan umat kristian yang tertinggal akan menjadi miliknya Satan. TUHAN juga berkata kebanyakkan gereja menjalankan perniagaan (pembelian dan penjualan) pada hari TUHAN yang kudus dan tidak mengajar anggota gereja untuk tidak membelanjakan wang pada hari TUHAN. Menurut kepada TUHAN, umat kristian haruslah menggunakan wang mereka pada hari TUHAN untuk memberi perpuluhan dan persembahan (Nehemia 10:13 dan 13:15, 1 Korintus 16:2).

Saya merendahkan diri dan bersyukur kepada TUHAN kerana membenarkan saya untuk menulis semuanya ini kepada saudara dan saudari yang saya kasihi di dalam TUHAN. Saya berdoa dengan mesej yang disampaikan daripada TUHAN ini dapat menjadi berkat dan membuka mata kepada setiap pembaca agar mempelai TUHAN akan bersiap sedia dan menantikan hari pengangkatan bagi tubuh Kristus, Amen.

Damai sejahtera dan kasih karunia menyertai setiap pembaca.

Segala hormat, puji dan kemuliaan bagi TUHAN.

MARANATHA!!!

Choo Thomas.

0 Responses to "Kesengseraan Besar sudah terjadi":